
KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim dimasukkan ke hospital dipercayai mengalami keletihan melampau akibat jadual kerja yang padat sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Steven berkata, selepas beberapa minggu sibuk bekerja, akhirnya terpaksa dikejarkan ke hospital pada hari keempat Tahun Baharu Cina.
“Doktor nasihatkan agar berehat untuk seketika, saya akan kembali semula dengan kuat. Jalan terus, kebaikan akan menyusul selepas musibah,” menurut Steven di hantaran Facebook hari ini.
Sementara itu, seorang pegawai medianya berkata, pihak mereka hanya dimaklumkan mengenai keadaan Steven selepas menteri berkenaan dimasukkan ke hospital.
Setakat ini keluarga Steven tidak mendedahkan secara terperinci punca menteri itu dimasukkan ke hospital namun dipercayai kemungkinan berpunca daripada keletihan melampau.
“Keadaan beliau tidak serius cuma terlalu letih,” katanya dan menambah pihak keluarga mahu Steven diberi ruang untuk berehat sepenuhnya.





