PUTRAJAYA : Empat surat yang didakwa sebagai bukti derma daripada pemerintah Arab Saudi, semasa perbicaraan empat kes mengunakan kedudukan untuk rasuah dan 21 pengubahan wang haram (AMLA) dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM2.3 billion dipalsukan.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat memberitahu, empat surat yang didakwa sebagai bukti derma daripada pemerintah Arab Saudi, semasa perbicaraan empat kes mengunakan kedudukan untuk rasuah dan 21 pengubahan wang haram (AMLA) dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM2.3 bilion, sebagai dipalsukan.
Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, salinan asal surat berkenaan tidak pernah dikemukakan kepada mahkamah malah tiada pengesahan dibuat barisan pembelaan yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memastikan dana itu dibuat pemerintah Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah.
“Surat itu dipalsukan kerana ada keterangan menunjukkan wang tersebut sebenarnya berpunca daripada dana 1MDB.
“Ada pengesanan dana tersebut menunjukkan ia disalurkan melalui syarikat swasta pihak ketiga Vista Equity, Blackstone dan Tanore, entiti yang dimiliki ahli kewangan buruan Eric Tan,” katanya semasa bersidang di Istana Kehakiman.
Collin berkata, perkara luar biasa apabila tiada surat balasan dihantar kepada keluarga diraja itu, sebagai salah satu tanda berterima kasih di atas sumbangan yang diperoleh.
Malah beliau mendapati dana tersebut boleh dianggap sangat mencurigakan.
Prosiding kes berkenaan ditangguhkan pada pukul 12.15 tengahari selepas bersidang selama tiga jam dan akan bersambung semula pada pukul 3 petang.
Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, Datuk Kamal Baharin Omar, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Deepa Nair Thevaharan, Nadia Mohd Izhar, Najwa Bistamam, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md Saud.
Sementara pembelaan bagi Najib diwakili peguam-peguam antaranya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Datuk Tania Scivetti, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Wan Mohammad Arfan Wan Othman dan Effa Azuin.
