TAMPIN: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi pertuduhan membunuh Suri Narudin yang mayatnya ditemukan dalam beg ditanam di belakang sebuah rumah berhampiran kawasan ini.
Tertuduh, Zainizan Zainal, 51, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Lelaki itu yang tidak diwakili peguam didakwa membunuh Suri, 53, di kawasan belakang sebuah rumah di Jalan Pedas Linggi, Rembau, antara 7 hingga 18 Disember lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi tidak menawarkan jaminan terhadap Zainizan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Januari tahun depan bagi menunggu laporan forensik serta bedah siasat.
Sebelum ini, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, mayat yang ditemukan dalam beg dan ditanam di belakang rumah itu dipercayai wanita yang dilaporkan hilang di Ampang, Selangor sejak 8 Disember lalu.
Susulan kejadian itu, polis menahan dua lelaki berumur 51 dan 41 tahun bagi membantu siasatan sebelum mengesahkan identiti mayat wanita itu ialah Suri berdasarkan pemeriksaan dan perbandingan cap jari dengan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
