
KUALA LUMPUR: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mencatatkan jumlah rampasan sebanyak RM82.1 juta, sepanjang tahun ini.
Menurut agensi itu, ia merupakan hasil tindakan bersepadu dan penguatkuasaan berterusan operasi kawalan di pintu masuk negara.
Katanya, rampasan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mencatat nilai rampasan tertinggi iaitu RM59.9 juta.
“Rampasan MAQIS melibatkan barangan seperti ayam sejuk beku, buah-buahan dan sayur-sayuran.
“Dalam pada itu, rampasan dadah merupakan kedua terbesar tahun ini sebanyak RM20.2 juta melibatkan dadah jenis ganja, methamphetamine, ekstasi dan ketamin,” katanya melalui hantaran di Facebook, hari ini.
Agensi itu menambah, rampasan berkaitan kesihatan dan kosmetik pula bernilai RM1.47 juta merangkumi pelbagai barangan termasuk minyak, ikan, produk kosmetik, ubat-ubatan dan sabun.
Katanya, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen AKPS dalam memastikan keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan rakyat, selaras dengan reformasi pintu masuk negara bawah aspirasi Malaysia MADANI.







