
KUALA LUMPUR: Pengendali Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali direhatkan kelab itu susulan prestasi kurang memberangsangkan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Pengurusan TFC dalam satu kenyataan berkata, Jawatankuasa Teknikal serta Ahli Lembaga Pengarah telah memutuskan untuk merehatkan ketua jurulatih Badrul Afzan Razali berkuat kuasa serta-merta.
“Penolong ketua jurulatih, Tengku Hazman Raja Hassan telah dilantik sebagai pengendali interim TFC sehingga pengganti Badrul Afzan diumumkan kelak.
“TFC ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Badrul Afzan atas segala komitmen, sumbangan dan khidmat bakti beliau sepanjang bersama pasukan.,” kata kenyataan itu.
TFC kini menduduki tangga kelima dalam saingan Liga Super dengan mencatat lima kemenangan, empat kekalahan dan tiga kali seri.







