
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela atas faktor kesihatan, berkuat kuasa hari ini.
Terdahulu, beliau mempersembahkan surat letak jawatan sebagai Menteri Besar kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail tengah hari tadi.
Bekas Pesuruhjaya PAS Perlis itu memaklumkan, beliau diperkenankan untuk menghadap Tuanku Syed Sirajuddin di Wad DiRaja Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan menyatakan hasrat meletak jawatan berkenaan.
“Peletakan jawatan ini dilakukan atas faktor kesihatan saya yang tidak mengizinkan akhir-akhir ini.
“Saya dengan ini menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk mempertimbangkan hasrat saya ini,” katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perlis, di Kangar, Perlis hari ini.
Mohd. Shukri menjelaskan, beliau akan meneruskan khidmat di kawasan sebagai ADUN manakala tugas Menteri Besar berkemungkinan dipangku sementara oleh Exco Kanan dan bakal ditentukan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.
“Pengganti saya nanti akan teruskan agenda dirancang khusus dalam bajet dibentangkan baru-baru ini untuk pastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Peletakan jawatan itu dilakukan tidak sampai 24 jam selepas tiga ADUN PAS terhenti keahlian dalam parti tersebut serta-merta kerana dikatakan terlibat dalam usaha bersama lima lagi ADUN Bersatu untuk menarik sokongan terhadap Mohd Shukri.
Berikutan itu ketiga-tiga ADUN tersebut ADUN Chuping, Saad Seman; Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) hilang kelayakan sebagai ADUN.







