
KANGAR: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan mengumumkan kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji susulan keahlian tiga ADUN Pas kawasan tersebut terhenti serta-merta.
Beliau berkata, kekosongan itu menepati Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.
“Saya juga telah menerima notis bertulis berkenaan tiga kekosongan luar jangka di bawah Fasal (3) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis daripada ADUN Beseri, Haziq Aysraf Dun.
“Saya telah membuat semakan dan meneliti dengan sebaik-baiknya perkembangan yang berlaku berkaitan tiga ADUN berkenaan.
“Saya berpuas hati untuk memutuskan bahawa telah berlaku kekosongan luar jangka yang memenuhi kehendak Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis bagi DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Kompleks Seri Putra di sini, hari ini,
Rus’sele berkata, beliau akan memaklumkan secara rasmi kekosongan luar jangka bagi tiga DUN berkenaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.
Terdahulu, media melaporkan tiga ADUN di Perlis dari Pas terhenti keahlian mereka sebagai parti itu serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan sebagai berkata, ketiga-tiga mereka yang terhenti keahlian parti itu ialah ADUN Chuping, Saad Seman; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.







