KUALA LUMPUR: Penulis blog, Murray Victor Hunter menarik balik sepenuhnya beberapa artikel yang didakwa berunsur fitnah serta membuat permohonan maaf selepas mencapai penyelesaian dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Hunter, warganegara Australia yang menetap di Thailand mengakui penerbitan artikel berkenaan yang menyentuh MCMC dan petugasnya adalah tidak tepat, mengelirukan serta telah menimbulkan salah faham.
Dalam satu kenyataan hari ini, dia kesal dan memohon maaf sekiranya penerbitan artikel tersebut menyebabkan sebarang kemudaratan kepada MCMC atau pihak berkaitan.
Menurut Hunter, penyelesaian itu dicapai selepas kedua-dua pihak mengadakan perbincangan dan mencapai persefahaman menerusi satu Perjanjian Penyelesaian.
“MCMC dan saya sudah berbincang serta mencapai persefahaman melalui satu Perjanjian Penyelesaian. Saya mengakui komen dan artikel saya mengenai MCMC dan pihak berkaitannya boleh ditafsirkan sebagai tidak tepat, mengelirukan serta menimbulkan salah faham.
“Sehubungan itu, saya memohon maaf dan melahirkan rasa kesal sekiranya tindakan tersebut menyebabkan sebarang kerugian kepada MCMC atau pihak-pihak berkaitan dan dengan ini saya menarik balik sepenuhnya semua komen serta artikel terbabit,” katanya.
Hunter turut mengesahkan semua kandungan berkaitan yang disenaraikan dalam Jadual 2 dan Jadual 3 Perjanjian Penyelesaian tersebut sudah ditarik balik sepenuhnya.
Artikel berkenaan sebelum ini diterbitkan antara April hingga November 2024 menerusi beberapa platform, termasuk laman Substack milik Hunter, portal Eurasia Review serta media sosial X yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter.
Penerbitan itu mengandungi dakwaan terhadap MCMC yang kemudiannya menjadi asas kepada tindakan undang-undang.
Penyelesaian tersebut susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Oktober 2025 yang memutuskan Hunter bertanggungjawab atas fitnah, selain menegaskan kebebasan bersuara bukanlah bersifat mutlak dan perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab.
Dalam kenyataan terdahulu, MCMC menegaskan keputusan mahkamah itu menjadi peringatan penting hak untuk menyuarakan pendapat tidak boleh dijadikan alasan untuk membuat kenyataan palsu, berniat jahat atau berunsur fitnah sehingga menjejaskan reputasi pihak lain.
Menurut MCMC, laporan polis berkaitan penerbitan artikel terbabit dibuat di Malaysia dan Thailand pada April serta Jun 2024.
Satu lagi saman turut difailkan di Malaysia dan dokumen tuntutan sudah diserahkan kepada Hunter di Thailand.
