
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan bakal jemaah haji bagi musim 1448H/2027M dan 1449H/2028M supaya meningkatkan tahap persediaan mereka dari segi kesihatan, kewangan, pengemaskinian maklumat serta penguasaan ilmu fardu ain serta ibadah haji.
TH dalam satu kenyataan berkata, persediaan awal dan tersusun penting bagi memastikan bakal jemaah memenuhi syarat kemampuan atau istito’ah untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
Kata kenyataan itu, langkah proaktif tersebut bertujuan membantu bakal jemaah bersedia lebih awal sebelum menerima surat tawaran haji apabila tiba giliran mereka.
“Bakal jemaah digalakkan menjalani pemeriksaan kesihatan lebih awal selain meningkatkan kecergasan fizikal dan mental memandangkan ibadah haji memerlukan ketahanan yang tinggi dalam suasana sesak, cuaca panas serta berdebu.
“Jemaah dijangka perlu berjalan kira-kira 10,000 langkah sehari dan sejauh tujuh kilometer sehari ketika melaksanakan ibadah melontar jamrah di Mina.
“Dari aspek kewangan, bakal haji digalakkan menambah simpanan secara berkala dan konsisten di Tabung Haji,” ujarnya lagi.
Menurut TH, sekurang-kurangnya RM15,000 diperlukan sebagai penanda aras minimum kelayakan untuk menerima surat tawaran haji, syarat yang mula diperkenalkan pada musim haji 1447H/2026M.
Katanya, kos haji bagi musim 1448H/2027M masih belum ditentukan tetapi kos musim 1447H/2026M sebanyak RM33,300 seorang boleh dijadikan panduan awal untuk perancangan kewangan.
“TH turut menyediakan kemudahan simpanan berkala melalui potongan gaji dan potongan terus daripada akaun bank menerusi platform THiJARI,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, TH berkata, Kursus Asas Haji bagi membantu bakal jemaah mendalami ilmu berkaitan ibadah haji akan bermula pada 25 September 2026.
Jelas kenyataan itu, bakal jemaah juga diingatkan supaya memastikan Pasport Malaysia Antarabangsa berada dalam status aktif dan mempunyai tempoh sah laku yang mencukupi.
“Selain itu, mereka disaran menyemak dan mengemas kini rekod peribadi menerusi aplikasi THiJARI atau di cawangan TH bagi memudahkan urusan komunikasi berkaitan tawaran haji.
“Makluman ini merupakan notis peringatan awal kepada bakal jemaah dalam tahun giliran 1448H dan 1449H manakala surat tawaran rasmi akan dikeluarkan secara berasingan kepada mereka yang layak mengikut syarat ditetapkan,” katanya.





