
KUALA LUMPUR: Sorakan puluhan ribu penyokong masih bergema di stadium namun impian tiga negara tuan rumah untuk mencipta sejarah di pentas sendiri berakhir dengan penuh kekecewaan.
Piala Dunia FIFA 2026 kini meneruskan saingan tanpa kelibat Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada selepas kesemua negara terbabit tersingkir sebelum melangkah ke pentas suku akhir.
Buat julung kali dalam sejarah, tiga negara berkongsi status tuan rumah tetapi tiada satu pun berjaya melangkah ke kelompok lapan terbaik dunia.
Kanada menjadi pasukan tuan rumah pertama yang mengucapkan selamat tinggal apabila tewas 0-3 kepada Maghribi dalam aksi pusingan 16 terbaik.
Walaupun mempamerkan semangat juang tinggi sepanjang kejohanan, skuad kendalian Jesse Marsch gagal mengekang kebangkitan pasukan Afrika yang tampil lebih tersusun dan klinikal.
Harapan Mexico pula musnah di hadapan penyokong sendiri apabila tunduk 2-3 kepada England dalam satu lagi aksi dramatik pusingan 16 terbaik.
Kekalahan itu bukan sahaja menamatkan perjalanan El Tri malah menafikan impian jutaan penyokong yang mahu melihat pasukan kebangsaan mereka mencipta sejarah di bumi sendiri.
Tumpuan kemudian beralih kepada Amerika Syarikat yang dianggap memiliki peluang terbaik untuk mara lebih jauh.
Apatah lagi apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengesahkan beliau meminta Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino supaya mengkaji semula keputusan melayangkan kad merah kepada penyerang utama negara itu, Folarin Balogun, namun menegaskan beliau tidak pernah meminta hukuman berkenaan dibatalkan.
Selepas perbincangan antara Trump dan Infantino, FIFA mengumumkan hukuman penggantungan Balogun ditangguhkan selama setahun.
Bagaimanapun, kontroversi berkenaan tidak merencatkan persiapan Belgium dalam mempamerkan kelas tersendiri menentang AS.
Belgium dengan mudah membelasah skuad kendalian Mauricio Pochettino 4-1 di Seattle sekali gus menutup tirai perjuangan tuan rumah terakhir dalam kejohanan edisi 2026.
Ironinya, ketiga-tiga negara tuan rumah sebelum ini mencipta sejarah apabila berjaya mara bersama ke pusingan 16 terbaik.
Ia merupakan satu pencapaian yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Piala Dunia.
Kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri tidak mencukupi untuk mengatasi pengalaman serta kualiti pasukan-pasukan elit dunia.
Pentas suku akhir menyaksikan dominasi kuasa-kuasa bola sepak tradisional dari Eropah, Amerika Selatan dan Afrika manakala tiga negara tuan rumah hanya mampu menjadi ‘penonton’ kejohanan yang masih berbaki beberapa perlawanan.
Bagi Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, Piala Dunia 2026 mungkin sudah berakhir di atas padang.
Begitupun, sebagai tuan rumah kepada kejohanan terbesar dunia, legasi yang ditinggalkan dijangka terus dikenang meskipun impian menjulang trofi di halaman sendiri berakhir dengan satu perkataan yang cukup menyakitkan – Game Over!







