
KUALA LUMPUR: Kualiti modal insan menjadi faktor utama yang akan menentukan kejayaan Malaysia pada masa depan, bukan sekadar kekuatan ekonomi atau kecanggihan teknologi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, negara memerlukan generasi yang mampu berfikir secara kritis, berkomunikasi secara berkesan serta pantas menyesuaikan diri dengan perubahan dunia yang semakin saling berhubung.
Menurutnya, dalam landskap global yang semakin kompleks, kejayaan sesebuah negara tidak lagi diukur berdasarkan kemajuan ekonomi dan teknologi semata-mata, sebaliknya bergantung kepada keupayaan rakyatnya menghadapi pelbagai cabaran baharu.
“Negara memerlukan individu yang bukan sahaja berpengetahuan, malah mempunyai kemahiran berfikir secara kritis, mampu berkomunikasi dengan baik dan menyesuaikan diri dengan perubahan.
“Dalam dunia seperti ini, kejayaan sesebuah negara tidak lagi ditentukan oleh kekuatan ekonomi atau kemajuan teknologi semata-mata,” katanya ketika merasmikan Persidangan Pelajar Antarabangsa ADNI (AISC) 2026 di sini.
Fadillah berkata, cabaran masa depan seperti perubahan iklim, kesihatan awam, transformasi digital dan ketidaksamaan sosial tidak mampu ditangani secara bersendirian.
Sebaliknya, katanya, semua pihak termasuk kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta, masyarakat sivil dan golongan belia perlu berganding bahu bagi mencari penyelesaian yang mampan.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI turut meletakkan pembangunan modal insan sebagai teras utama kemajuan negara, selaras dengan prinsip yang pernah diperjuangkan Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn, bahawa kekuatan sesebuah negara terletak pada perpaduan serta sahsiah rakyatnya.
“Teknologi mungkin menghubungkan peranti kita, namun hanya nilai bersama, sikap saling menghormati dan kepercayaan mampu menghubungkan masyarakat,” katanya.
Ujar beliau, pembangunan sebenar tidak seharusnya hanya tertumpu kepada aspek ekonomi, sebaliknya perlu merangkumi pendidikan, kesejahteraan, etika, kreativiti, kemampanan serta perpaduan sosial.
Mengulas penganjuran AISC 2026, Fadillah berkata, persidangan itu mencerminkan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi usaha melahirkan generasi muda yang memahami kepentingan pendidikan berkualiti, keterangkuman, institusi yang kukuh serta kerjasama strategik.
Katanya, platform seperti itu membuka ruang kepada wacana intelektual dan interaksi merentas budaya yang penting dalam membentuk individu berfikiran global tanpa mengabaikan nilai serta jati diri.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pelajar supaya tidak terlalu bergantung kepada teknologi kerana kecerdasan buatan (AI) mungkin semakin canggih, namun tidak mampu menggantikan kebijaksanaan manusia dan nilai belas kasihan.
Persidangan AISC 2026 yang membawa tema Thriving Together: Diversity, Education and Wellness in a Digital World menghimpunkan kira-kira 150 pelajar tempatan dan antarabangsa termasuk delegasi dari Thailand, Filipina dan Indonesia bagi bertukar pandangan, memperkukuh persahabatan serta mengeratkan kerjasama serantau.




