
KUALA LUMPUR : Walaupun Indeks Keterjaminan Makanan Malaysia 2024 mencatatkan prestasi keseluruhan terbaik sejak 2013, keupayaan negara dalam menjamin ketersediaan bekalan makanan sendiri masih menunjukkan cabaran apabila dimensi ketersediaan menurun kepada 50.0 berbanding 54.3 pada tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kemerosotan tersebut didorong oleh beberapa indikator utama, termasuk prestasi import dan eksport pertanian makanan utama, kerugian lepas tuai serta bekalan tenaga tersedia per kapita bagi kumpulan makanan terpilih.
“Bekalan tenaga tersedia per kapita merekodkan skor tertinggi dalam dimensi itu pada 58.7 berbanding 60.0 pada 2023, diikuti eksport pertanian makanan utama dengan skor 55.1 (2023: 55.7) dan pengeluaran pertanian makanan utama sebanyak 54.3, meningkat daripada 44.3 pada tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Simfoni Data dan Media: Wacana Khas yang berlangsung, hari ini.
Ujar Mohd. Uzir, dimensi ketersediaan khususnya pengeluaran dalam negara masih mempunyai banyak ruang untuk diperkukuh.
“Ini sebabnya fokus ekonomi pada masa akan datang perlu memberi penekanan kepada pengukuhan sektor pertanian. Saya jangka langkah itu akan membantu meningkatkan lagi Indeks Keterjaminan Makanan negara,” jelasnya.
Menurutnya, Laporan Awalan Indeks Keterjaminan Makanan Malaysia juga menunjukkan skor keseluruhan indeks meningkat kepada 61.5 pada 2024 berbanding 54.5 pada 2023, sekali gus meletakkan tahap keterjaminan makanan negara pada prestasi yang baik.
“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh dimensi kebolehcapaian yang melonjak kepada 79.9 daripada 59.6 tahun sebelumnya selain peningkatan dimensi kestabilan kepada 54.6 dan penggunaan kepada 50.4,” jelasnya.
Mohd. Uzir berkata, penerbitan laporan tersebut yang pertama kali dihasilkan menjadi platform baharu untuk menilai tahap keterjaminan makanan negara secara lebih tersusun dan menyeluruh berasaskan data rasmi, selaras dengan piawaian serta amalan pengukuran di peringkat antarabangsa.
Beliau menjelaskan laporan itu mengandungi 25 indikator utama yang merangkumi empat dimensi penting, iaitu ketersediaan, kebolehcapaian, penggunaan dan kestabilan, selain menyajikan analisis skor indeks bagi tempoh 2013 hingga 2024.
Menurutnya, pembangunan indeks keterjaminan makanan di peringkat nasional semakin menjadi amalan banyak negara sebagai instrumen pemantauan yang membantu memperkukuh proses perancangan, pelaksanaan serta penambahbaikan dasar berkaitan sistem makanan.
“Indonesia menggunakan Food Security and Vulnerability Atlas (FSVA), manakala United Kingdom memperkenalkan UK Food Security Index 2024 untuk menilai kedudukan dan trend keterjaminan makanan negara itu.
“Kanada dan Australia turut menggunakan kerangka indikator keterjaminan makanan bagi mengukur prestasi serta daya tahan sistem makanan masing-masing,” katanya.
Tambahnya lagi, Indeks Keterjaminan Makanan Malaysia diperkenalkan sebagai inisiatif strategik untuk memperkukuh pemantauan tahap keterjaminan makanan negara menerusi pendekatan yang berasaskan data dan bukti yang sahih.
“Ia bukan sahaja memberikan isyarat awal terhadap cabaran semasa dan masa hadapan, malah mengenal pasti keperluan intervensi strategik bagi memperkukuh sistem makanan negara yang mencukupi, stabil dan mampan untuk jangka panjang.
“Indeks ini juga menjadi rujukan utama dalam merangka serta memantau pelaksanaan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya.





