
ALOR GAJAH: Kegembiraan dua pasukan bola sepak amatur beraksi dalam perlawanan persahabatan bertukar tragedi apabila seorang penjaga gol maut dipercayai disambar petir di Padang Kompleks Rakan Muda Lendu di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 5.40 petang itu, mangsa, R. Thanesh, 28, yang mewakili Rembau Indian Veteran FC dari Negeri Sembilan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Alor Gajah.
Kejadian turut mengakibatkan seorang pengadil cedera, manakala seorang lagi pemain terselamat daripada sambaran petir tersebut.
Seorang pemain Tanjung Minyak FC yang hanya mahu dikenali sebagai Awe, 41, berkata, perlawanan yang dijadualkan bermula pada pukul 5 petang terpaksa dilewatkan sedikit kerana beberapa pemain tiba lewat, selain keadaan hujan renyai.
Menurutnya, ketika kejadian, permainan baharu memasuki kira-kira 15 minit separuh masa pertama apabila penyerang pasukannya berjaya merampas bola sebelum menggelecek melepasi penjaga gol.
“Ketika itulah petir menyambar dan mengenai penjaga gol hingga dia rebah bersama pengadil yang berada berhampiran. Penyerang kami pula terselamat kerana sempat berlari beberapa langkah ke sebelah kiri,” katanya.
Awe berkata, sebelum insiden itu berlaku hanya kedengaran bunyi guruh sebelum satu sambaran petir mengenai kawasan petak penalti sehingga mencetuskan suasana panik apabila pemain bertempiaran meninggalkan padang.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, pihaknya menerima makluman daripada Hospital Alor Gajah pada pukul 8.50 malam mengenai seorang lelaki yang dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dipercayai disambar petir.
Katanya, mangsa dihantar ke hospital menggunakan kenderaan awam, manakala pengadil perlawanan dibawa menaiki ambulans. Seorang lagi pemain yang terjejas berada dalam keadaan baik dan tidak mendapatkan rawatan.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kesan terbakar pada jari kaki hingga ke paha kiri, melecur pada bahagian bawah kiri perut, kesan kehitaman di belakang badan sehingga paras punggung serta pendarahan pada telinga kanan,” katanya.







