
KUALA LUMPUR : Barisan Nasional (BN) optimis mampu meraih jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mencukupi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi membolehkan gabungan itu menubuhkan kerajaan negeri.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman berkata, fokus utama BN bukanlah kepada sama ada jumlah kerusi yang dimenangi akan meningkat atau berkurangan berbanding sebelum ini, sebaliknya memastikan mandat rakyat kembali diberikan kepada gabungan tersebut untuk menerajui pentadbiran Johor.
Menurut beliau, pencapaian BN dalam meraih lebih banyak kerusi turut bergantung kepada beberapa faktor, termasuk tahap kehadiran pengundi yang pulang menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian, 11 Julai nanti.
“BN boleh memerintah tapi dari segi berapa jumlah kerusi itu saya tak tahu banyak mana (boleh dapat). Itu kena tanya Menteri Besar Johor.
“Apa pun, saya rasa tengok keadaan juga. Kalau pengundi luar masuk balik (untuk mengundi nanti) susah jugakan. Tapi tengok pada kawasan,” katanya dalam satu sesi temubual dengan media di sini hari ini.
Mengulas mengenai tindakan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang kini dilihat menyerang kepimpinan BN termasuk Menteri Besar Johor, Azalina berkata ia tidak menjejaskan imej serta reputasi terutama UMNO sepanjang PRN.
“Saya percaya setiap orang ada hak nak sokong parti mana. Hak demokrasi. Kesimpulannya saya tak rasa (ada kesan), siapa beliau itu akan menggugat kerja kempen BN di Johor,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa bekas Perdana Menteri, Najib Razak, akan dibebaskan sekiranya BN memenangi PRN Johor, Azalina menegaskan perkara itu tidak mempunyai kaitan dengan perkembangan politik semasa.
Menurut beliau, kuasa untuk membebaskan mana-mana individu yang sedang menjalani hukuman penjara terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan bukannya ditentukan oleh faktor politik.
“Saya berpandangan bahawa kuasa untuk membebaskan seseorang daripada penjara adalah kuasa Agong dan tidak berkaitan dengan politik,” katanya.
Mengulas kemungkinan keputusan PRN Johor memberi kesan kepada kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, termasuk sokongan di Dewan Rakyat, Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata keputusan pilihan raya itu tidak wajar dijadikan ukuran untuk menilai kekuatan kerajaan sedia ada.
Sebaliknya, beliau berpendapat keputusan PRN Negeri Sembilan lebih sesuai dijadikan petunjuk bagi menilai sama ada terdapat sebarang kesan terhadap kedudukan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat, mengambil kira beberapa faktor yang berbeza.







