
KUALA LUMPUR: Dialog Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diteruskan pada Selasa ini meskipun Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dijangka tidak dapat menghadirinya berikutan faktor komitmen lain.
Jabatan Penerangan Negeri Johor menerusi surat jemputan memaklumkan, sesi dialog itu melibatkan peserta pelbagai jabatan, agensi dan Komuniti MADANI serta dijangka dihadiri calon Pakatan Harapan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik.
Sementara itu, seorang pegawai kepada Onn Hafiz ketika dihubungi mengesahkan beliau tidak dijadualkan menghadiri program berkenaan.
“Tidak, dalam atur cara pun tiada (kehadiran) MB,” katanya ringkas.
Sebelum ini, RTM, Astro Awani dan Sinar Harian mengemukakan jemputan rasmi kepada Onn Hafiz dan Maszlee bagi menyertai dialog berkenaan.
Dialog sejam itu bertujuan memberikan ruang yang adil dan seimbang kepada kedua-dua tokoh untuk berkongsi visi, dasar, keutamaan serta penyelesaian terhadap isu yang menjadi perhatian rakyat Johor.
Program anjuran bersama RTM, Astro Awani dan Sinar Harian itu dijadual berlangsung di Auditorium RTM, Jabatan Penyiaran Negeri Johor bermula pukul 8 malam.







