
SEPANG: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd menyasarkan pertumbuhan positif bagi musim umrah 1448H selepas mencapai sasaran hampir 60,000 jemaah pada musim 1447H.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, setakat ini seramai 29,000 jemaah telah mendaftar pakej umrah bagi musim baharu 1448H.
Beliau berkata, sambutan terhadap pakej umrah terus menggalakkan sekali gus mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan yang ditawarkan syarikat itu.
“Bagi tahun ini, kami melihat kerancakan mereka yang nak pergi umrah. Namun pada masa sama, kami juga buat tawaran-tawaran istimewa dalam keadaan yang lebih menyokong pertumbuhan pakej-pakej umrah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Terdahulu, seramai 91 jemaah termasuk 47 orang terdiri daripada stokis dan ahli perniagaan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman bersama keluarga berlepas ke Tanah Suci menaiki penerbangan Saudi Airlines.
Ida Riswana berkata, penyertaan kumpulan berkenaan merupakan tanda penghargaan kepada stokis yang banyak menyumbang kepada perkembangan perniagaan usahawan itu.

Sementara itu, beliau berkata, Andalusia turut menawarkan pakej umrah singkat pada harga serendah RM5,990 sempena kempen Andalusia 7.7 Deals khususnya bagi mereka yang tidak dapat mengambil cuti panjang.
Beliau berkata, pakej selama sembilan hari tujuh malam menerusi penerbangan Malaysia Airlines itu meliputi penginapan hotel jarak sederhana, empat malam di Mekah dan tiga malam di Madinah.
Katanya, tawaran pakej RM5,990 itu akan berlangsung sehingga hujung bulan ini, manakala promosi kempen 7.7 hanya sah sehingga 7 Julai ini.







