
JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) melancarkan manifesto Johor Untuk Semua sebagai tawaran kepada pengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Tawaran itu dibentangkan secara bersama calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik; calon PH DUN Larkin, Suhaizan Kayat dan calon PH Stulang, Andrew Chen.
Antara teras utama tawaran berkenaan ialah Skim Kesihatan Johor yang menawarkan perlindungan kesihatan hingga RM100,000 setahun bagi golongan B40, M40, dan Orang Kurang Upaya (OKU), selain menghidupkan semula Kad Sihat Johor dengan sasaran 500,000 orang akan mendapat manfaat.
Selain itu, bantuan deposit sebanyak RM8,000 bagi pemilikan rumah pertama melalui skim sewa milik (rent-to-own) juga akan disediakan dengan sasaran 50,000 keluarga muda akan menerima manfaat.
PH juga menawarkan peruntukan dana berjumlah RM500 juta bagi memperkasakan pembangunan generasi muda di negeri ini sebagai sebahagian daripada tawaran utama dalam manifesto Johor Untuk Semua.
Dana terbesar untuk pembangunan generasi muda Johor itu merangkumi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Premium Johor, Dana Usahawan Muda, latihan Kecerdasan Buatan (AI), robotik dan digital serta tuisyen percuma bagi calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) daripada keluarga B40.
Bagi menyokong ekosistem perniagaan tempatan, dana sebanyak RM1 bilion disediakan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta usahawan Johor bagi mendigitalkan 20,000 perniagaan serta mewujudkan 10,000 usahawan baharu dalam pasaran ASEAN.
PH turut menggariskan komitmen untuk memperkasakan Johor sebagai pengeluar utama agromakanan negara melalui pemodenan rantaian nilai dan transformasi industri hiliran.
Tawaran itu antara lain memberikan tumpuan kepada pemerkasaan potensi komoditi bernilai tinggi tempatan, khususnya bagi industri durian dan nanas, selain bertekad mengekalkan serta menambah kawasan pertanian kekal dan meningkatkan pengeluaran makanan di Johor.
PH juga bertekad untuk memacu Johor sebagai pusat industri bernilai tinggi dengan memastikan pembangunan menyeluruh merentasi setiap daerah sebagai enjin penggerak ekonomi Johor.
Antara industri yang diberi penekanan termasuklah pembuatan perabot, ekosistem ekonomi kreatif, industri berteknologi tinggi serta sektor minyak dan gas, sektor pelancongan serta pertanian moden, perikanan dan penghasilan makanan.
PH turut menawarkan komitmen untuk mengurangkan masa menunggu bagi urusan rentas sempadan Malaysia–Singapura sebanyak 50 peratus menerusi Agenda Johor–Singapura yang digariskan dalam manifestonya.






