
JOHOR BAHRU: Semua pihak diingatkan supaya menghentikan isu lama yang tidak berkaitan dengan Johor sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), sebaliknya memberi tumpuan kempen kelebihan calon dan tawaran kepada rakyat.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bagi memastikan persaingan politik berlangsung secara matang dan berhemah memandangkan parti-parti yang bertanding turut bekerjasama di peringkat Kerajaan Persekutuan.
“Walaupun ada susuk tubuh tertentu melakukan ‘pembelasahan’ terhadap isu-isu lama kepada UMNO dan BN, saya harap isu itu tidak dimainkan kerana kita adalah rakan di peringkat Persekutuan dan saya harap kita depani gelanggang politik di Johor ini dengan hikmah, dengan sebaik-baiknya.
“Masalah-masalah lain, saya tidak fikir kita perlu bangkitkan sebab setiap minggu kita bertemu dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan saya tidak mahu mereka akan serba salah apabila bertemu dengan pemimpin-pemimpin yang menjadi rakan dalam Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program bersama rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas hari ini.
Menjawab dakwaan BN terlalu yakin untuk menghadapi PRN Johor kali ini, Timbalan Perdana Menteri berkata, parti itu tidak berada dalam keadaan terlalu yakin, sebaliknya menganggap diri sebagai ‘underdog’ berdasarkan perubahan landskap politik negeri berkenaan.
Beliau berkata BN perlu bekerja keras untuk meningkatkan pencapaian melepasi 40 kerusi yang pernah dimenangi sebelum ini, khususnya apabila lebih separuh pengundi kini terdiri daripada golongan muda.
Menurutnya, manifesto yang dibawa Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberi penekanan terhadap keperluan golongan itu termasuk peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).






