
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan mengubah pendirian terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, meskipun beliau berkemungkinan menerima pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang keputusan berhubung pengampunan di AS adalah hak dan urusan negara berkenaan, namun ia tidak akan mempengaruhi tindakan Malaysia.
Menurut beliau, kerajaan akan terus berpegang kepada proses perundangan dalam mengendalikan kes membabitkan Jho Low.
“Pendirian Malaysia jelas, kita mengikut jalur hukum. Itu soal keputusan AS, itu urusan mereka, tetapi pendirian kita tidak akan terpengaruh, terganggu atau tergugat oleh keputusan negara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Sodiqin, Taman Kobena, di sini hari ini.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan Jho Low merupakan antara kira-kira 250 individu yang sedang dipertimbangkan untuk menerima pengampunan daripada Trump sempena sambutan ulang tahun ke-250 Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat yang diraikan esok.
Laporan The Atlantic yang memetik sumber yang mengetahui perbincangan itu menyatakan Rumah Putih sedang meneliti cadangan mengumumkan sehingga 250 pengampunan menerusi inisiatif dikenali sebagai ‘250 pengampunan bagi 250 tahun’.
Namun, menurut laporan sama, penasihat Trump masih belum mencapai kata sepakat sama ada cadangan pengampunan secara besar-besaran itu wajar diteruskan.







