
KEMAMAN: Seorang murid prasekolah berusia enam tahun parah selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Geliga, Jalan Kuala Kemaman-Geliga, di Chukai, semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian pukul 12.30 tengah hari itu berlaku apabila mangsa melintas jalan dari arah kiri ke kanan sebelum dirempuh sebuah Perodua Myvi.
Katanya, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu seorang wanita berusia 40 tahun itu sedang dalam perjalanan dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga menuju ke SK Seri Geliga ketika kemalangan berlaku.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman.
“Mangsa yang merupakan penduduk Kampung Geliga kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.
Mohd Razi berkata, pemandu kereta terbabit sudah membuat laporan di Balai Polis Trafik Kemaman sejurus selepas kejadian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa cermat sehingga menyebabkan kemalangan.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pihak polis atau hadir ke balai polis berhampiran.






