
KUALA LUMPUR: Kerajaan menambah peruntukan sebanyak RM10 juta bagi membantu pemandu teksi di seluruh negara memiliki kenderaan baharu menerusi skim khas melibatkan model Proton S70.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tambahan itu menjadikan keseluruhan peruntukan kerajaan bagi skim berkenaan meningkat kepada RM20 juta selepas RM10 juta diumumkan menerusi Belanjawan tahun lalu.
Menurut beliau, inisiatif tersebut membuktikan komitmen Kerajaan Madani dalam meningkatkan taraf hidup pemandu teksi yang sekian lama berdepan beban sistem permit dan kos operasi yang tinggi.
“Kerajaan mahu mengubah sistem lama yang menyaksikan permit teksi dimiliki syarikat besar atau individu berada, sedangkan pemandu hanya memperoleh pendapatan yang kecil.
“Di bawah Kerajaan Madani, permit perlu diberikan terus kepada pemandu supaya mereka menjadi pemilik sendiri dan tidak lagi terbeban dengan kadar sewa yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Teksi Madani Nasional di sini hari ini.
Anwar berkata, skim pemilikan Proton S70 itu dilaksanakan hasil kerjasama Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan dan Proton bagi menyediakan penyelesaian yang lebih menyeluruh kepada pengusaha teksi.
Katanya, selain menawarkan harga kenderaan yang lebih kompetitif, skim itu turut merangkumi kemudahan penyelenggaraan dan servis pada kadar lebih rendah.
“Malah, kerajaan sedang meneliti cadangan supaya pasukan penyelenggaraan bergerak dapat ditempatkan di stesen-stesen teksi bagi menjalankan pemeriksaan serta penyelenggaraan kecil tanpa menjejaskan masa bekerja pemandu,” katanya.
Beliau berkata, langkah mengurangkan kos operasi serta penyediaan kemudahan pembiayaan dijangka mampu meningkatkan pendapatan bulanan pemandu teksi kepada antara RM5,000 hingga RM7,000 berbanding sekitar RM3,000 ketika ini.
Anwar menyifatkan pemandu teksi sebagai duta kecil negara yang memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi pelancong terhadap Malaysia.
Menurut beliau, sikap mesra, tutur kata yang sopan dan penekanan terhadap aspek kebersihan mampu meningkatkan imej negara sekali gus menyokong pembangunan sektor pelancongan.
Beliau turut memberi jaminan kerajaan akan terus meneliti memorandum serta cadangan dikemukakan persatuan teksi bagi memastikan kebajikan golongan itu terus diperkasakan seiring perkembangan teknologi dan penggunaan aplikasi e-hailing.







