
KUALA LUMPUR: Di sebalik lensa kamera, rakaman imej bukan sekadar visual tetapi denyut kehidupan, sejarah dan kemanusiaan.
Naratif itulah yang berjaya diterjemahkan melalui Pameran Fotografi Kewartawanan & Dokumentari Visual TERHUBUNG apabila menarik hampir 1,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran di Muzium Telekom, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sambutan memberangsangkan daripada pengamal media, mahasiswa, jurugambar profesional, penggiat seni visual serta masyarakat umum memperlihatkan bahawa fotografi kewartawanan terus mendapat tempat sebagai medium penting dalam menyampaikan realiti kehidupan, jauh melangkaui fungsi menghasilkan visual yang menarik.

Bertemakan Dalam dunia yang semakin terhubung, kefahaman menjadi lebih penting daripada sekadar capaian, menghimpunkan pelbagai karya dokumentari visual yang merakam pelbagai peristiwa penting, konflik kemanusiaan, perubahan sosial dan denyut nadi kehidupan masyarakat di Malaysia serta antarabangsa.
Lebih signifikan, TERHUBUNG bukan sekadar ruang pameran sebaliknya menjadi platform intelektual pertemuan wartawan, jurugambar, pelajar, penyelidik dan masyarakat untuk berdialog mengenai tanggungjawab pengamal media visual dalam era digital yang dipenuhi lambakan maklumat serta cabaran penyebaran kandungan tanpa konteks.
Pameran berlangsung bermula 26 hingga 28 Jun itu anjuran hasil kerjasama Kongsi Hub dan Yayasan TM menampilkan beberapa sesi perkongsian bersama pengamal industri.
Ia mengupas pengalaman sebenar di lapangan, cabaran menghasilkan dokumentasi visual beretika dan peranan fotografi sebagai bukti sejarah yang mampu merentasi sempadan bahasa serta budaya.

Sambutan diterima menggambarkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan literasi visual khususnya dalam menilai sesuatu imej secara kritis, memahami konteks di sebalik rakaman dan menghargai usaha jurugambar yang sering berdepan risiko demi merakam kebenaran.
Pameran itu turut menerima kunjungan Pengarah Yayasan TM, Ainol Shaharina Sahar dan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Ashwad Ismail.
Selain itu, para penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Selangor, UM-Wales, Universiti Sultan Azlan Shah, R.E.A.L Schools dan Multimedia University tidak melepaskan peluang menimba ilmu serta pengalaman sepanjang pameran.
Ia sekali gus mencerminkan minat yang semakin berkembang terhadap bidang kewartawanan visual dalam kalangan generasi muda.

Kurator Kongsi Hub KL, Syaiful Redzuan Mohd Noor berkata, TERHUBUNG bukan sekadar tentang gambar, media atau teknologi.
“Ia adalah tentang manusia dan bagaimana cerita, suara serta pengalaman dirakam mampu menghubungkan kita dengan realiti yang tidak pernah kita alami sendiri.
“Dalam dunia yang semakin terhubung, makna sebenar keterhubungan bukan terletak pada sejauh mana kita boleh mengakses maklumat tetapi sejauh mana kita mampu melihat, mendengar, memahami dan memilih untuk peduli antara satu sama lain,” katanya.

Dia menjelaskan, kejayaan pameran itu dilihat sebagai penanda aras bahawa masyarakat masih menghargai karya fotografi yang membawa nilai kemanusiaan dan naratif mendalam.
Dalam landskap digital yang semakin dipenuhi lambakan kandungan visual, dia memberitahu, TERHUBUNG membuktikan bahawa fotografi kewartawanan kekal relevan sebagai medium yang menghubungkan masyarakat, memelihara memori kolektif serta merakam sejarah untuk generasi akan datang.
“Kongsi Hub ingin merakamkan penghargaan kepada semua jurugambar, panel jemputan, rakan media, sukarelawan, rakan strategik, Muzium Telekom, Telekom Malaysia, institusi pengajian tinggi dan para pengunjung yang menjayakan penganjuran TERHUBUNG,” ujarnya.







