
KOTA TINGGI: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa kempen parti tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor “suram”.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau menyifatkan perkara itu hanyalah mengikut tafsiran politik peribadi dan tidak mencerminkan realiti sebenar di lapangan.
“BN merasakan kempen ini sedang rancak dijalankan dan tentunya apa yang sedang diperkirakan oleh pihak gabungan lain selain daripada gabungan dalam parti-parti komponen BN, itu adalah hak mereka sama ada untuk menyokong atau sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Santunan Kasih Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) hari ini.
Ahmad Zahid berkata, BN menghargai sokongan daripada pelbagai pihak dan berharap ia diterjemahkan dalam bentuk undi pada 11 Julai ini bagi memastikan kemenangan calon parti.
Mengulas mengenai dakwaan kononnya kerjasama erat BN dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan boleh mengelirukan pengundi tradisi di Johor, beliau berkata isu tersebut tidak timbul.
“Situasi di Johor adalah unik memandangkan kerajaan negeri telah dibentuk lebih awal sebelum penubuhan Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.
“Tidak timbul masalah kerjasama antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan, apatah lagi kami yang berada dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan bekerja secara profesional dengan cukup erat,” katanya.
Ahmad Zahid berkata BN yang bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menyasarkan kemenangan besar bagi mengukuhkan mandat, bersandarkan prestasi cemerlang pentadbiran Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Katanya, di bawah Onn Hafiz kerajaan negeri berjaya mencatat kutipan hasil sebanyak RM2.26 bilion tahun lepas, prestasi terbaik dalam kalangan negeri di Semenanjung.







