
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan langkah baharu yang menetapkan setiap sekolah di negara ini mempunyai sekurang-kurangnya seorang penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) yang terlatih bagi memperkukuh pengurusan risiko serta memastikan tahap keselamatan murid terus dipertingkatkan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif berkenaan merupakan antara komponen yang digariskan menerusi Garis Panduan Pengurusan Keselamatan Sekolah dan Dasar Perlindungan Murid yang dilancarkan pada 11 Jun lalu.
Menurut beliau, usaha memperkasakan audit dan pemantauan terhadap kemudahan sekolah, termasuk struktur bangunan serta infrastruktur di kawasan sekolah, dilaksanakan secara berterusan bagi menjamin persekitaran pembelajaran yang selamat dan selesa.
Katanya, selain dipantau menerusi jawatankuasa khas yang ditubuhkan, pelaksanaan aspek keselamatan dan kesihatan itu turut mendapat kerjasama serta sokongan teknikal daripada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
“Ini untuk memastikan agensi dan organisasi ini mempunyai pandangan, selain menetapkan pelaksanaan semua agenda bagi memantau dan memperkukuh ekosistem selamat di sekolah.
“Kepakaran NIOSH pula bagi memastikan isu berkaitan (keselamatan) bangunan, longkang dan kebakaran.
“Mereka juga memberi latihan dan bimbingan sepenuhnya untuk memastikan di peringkat sekolah ada penyelaras keselamatan diwujudkan,” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai tahap keselamatan bangunan dan infrastruktur di sekolah bagi memastikan persekitaran fasiliti itu kekal selamat dan bebas risiko kemalangan.
Menjawab pertanyaan berkenaan, Fadhlina menegaskan KPM sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, kebajikan dan perlindungan murid dalam pengurusan semua institusi pendidikan di bawah kementerian itu.
Menurutnya, komitmen tersebut diterjemahkan menerusi pendekatan menyeluruh yang memberi tumpuan kepada lima aspek utama, iaitu pencegahan, pemantauan, pelaporan, intervensi dan penguatkuasaan, selain diperkukuh melalui kerjasama strategik melibatkan pelbagai kementerian serta agensi berkaitan.
“Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat KPM dan Dasar Perlindungan Murid Sekolah dilancarkan 11 Jun lalu rujukan utama bagi seluruh institusi pendidikan bagi memperkukuh keselamatan fizikal, sosial dan emosi murid melalui pelbagai langkah, selain penubuhan Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan pada Ogos 2025.
“Jawatankuasa ini berperanan meneliti, menambah baik dan memperkukuh dasar mekanisme serta pelaksanaan langkah keselamatan di institusi pendidikan berdasarkan keperluan sebenar di lapangan.
“Tahap keselamatan sekolah dinilai secara berterusan, selain ia akan dilaksanakan melalui sokongan berfokus daripada jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah, jika memerlukan bimbingan,” katanya.







