
IPOH: Mulai Perak tidak akan lagi mengeluarkan lesen untuk penjualan rokok elektronik atau vape, bermula Januari tahun hadapan.
Perkara itu didedahkan Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Negeri, A. Sivanesan.
Beliau menjelaskan keputusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri pada 22 September lalu.
“Tindakan ini merupakan langkah persiapan menjelang pelaksanaan pengharaman sepenuhnya penjualan vape oleh kerajaan pusat,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Tambah Sivanesan, dengan keputusan itu Perak menjadi negeri ketujuh melaksanakan larangan berhubung penjualan vape melalui penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi lesen penjualan selepas Perlis, Kedah, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“Kalau nak haramkan kita kena mansuhkan akta dulu. Jadi sehingga kita mansuhkan (pinda) akta ini, kita tak boleh haramkan dan apa yang lima negeri itu buat adalah larang lesen penjualan rokok elektronik.
“Dalam dalam proses ini, kita hanya tidak membenarkan penjualan vape di negeri kita menggunakan mana-mana premis untuk menjualnya.
“Kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa yang besar dalam aspek kesihatan awam, pendidikan komuniti dan pelesenan perniagaan. Kuasa ini dimanfaatkan untuk memacu perubahan gaya hidup rakyat Perak melalui larangan lesen, tidak memperbaharui lesen sedia ada, dan penguatkuasaan bersepadu,” katanya.
Katanya lagi, tempoh masa sekitar 14 bulan diperlukan bagi menoktahkan penjualan vape di Perak, berikutan permohonan atau pembaharuan lesen menjual vape di Perak masih terbuka sehingga 31 Disember ini.
Dalam perkembangan sama, Perak merekodkan 44 kes EVALI iaitu kecederaan paru-paru berkaitan dengan vape serta 27 kes non-EVALI, selain 111 kes keracunan nikotin yang dicatatkan antara tahun 2015 hingga 2023.
Menurutnya, Perak juga merekodkan kes penyalahgunaan dadah yang dikaitkan dengan vape seperti syabu, ganja, psilocybine dan mushroom yang membabitkan 42 kes tangkapan antara tahun 2024 hingga Julai 2025 dan turut disifatkan sebagai trend meningkat.