
KUALA LUMPUR: Penyanyi, Zizi Kirana yang juga salah seorang aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) sempat memohon maaf menerusi mesej kepada suaminya, Yusuf Bahrin sebelum ditahan tentera rejim Israel di perairan antarabangsa, pagi tadi.
Yusuf atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf Bahrin, 33, seorang pelakon memaklumkan, kali terakhir beliau dapat berhubung dengan Zizi sekitar pukul 1.40 pagi tadi sebelum komunikasi terputus sepenuhnya.
“Pagi tadi pukul 1.40 pagi waktu Malaysia saya dapat mesej terakhir daripada Zizi mengatakan kapal dia akan ditahan sebab tentera Israel mula menuju ke kapalnya.
“Dia cakap sayang…mereka (tentera Israel) dah datang, doakan saya, saya minta maaf, halalkan makan minum saya. Ok nanti apa-apa doakan saya balik (mahu pulang),” katanya.
Yusuf turut meluahkan rasa kagum dan bangga terhadap semangat juang serta keberanian luar biasa yang ditunjukkan isterinya dalam menghadapi kekejaman tentera rejim Zionis.
“Saya sendiri tidak tahu dari mana datangnya kekuatan dan semangat yang dia miliki. Saya tak tahu macam mana dia membina rasa berani yang begitu luar biasa.
“Dia langsung tidak takut dengan tentera rejim Israel. Dia hanya berkata dengan nada bersahaja, tenang, seolah-olah tidak ada apa-apa yang menakutkan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau reda dan berserah sepenuhnya kepada ketentuan Allah SWT sekiranya sesuatu buruk berlaku selepas menerima mesej terakhir daripada Zizi yang benar-benar menyentuh hati.
“Saya terbayang ya Allah, kalau engkau ambil isteri aku dengan cara macam ini, aku reda. Sebab semangat dia benar-benar berkobar-kobar untuk teruskan misi ini walaupun dia tahu risikonya. Dia tetap nak langgar Israel tanpa rasa takut sedikit pun,” katanya.
Tambahnya, semangat isterinya untuk meneruskan perjuangan memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin begitu luar biasa dan tiada apa yang mampu menghalangnya walau berdepan ancaman tentera Zionis.
“Saya reda dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah SWT. Saya takkan percaya apa-apa melainkan berita yang sahih,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus mendoakan keselamatan semua sukarelawan misi GSF yang kini dilaporkan telah ditahan tentera Zionis.





