
KUALA LUMPUR: Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) kini berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya susulan laporan mengenai peningkatan aktiviti dron di kawasan pelayaran mereka.
Sumud Nusantara menerusi hantaran di media sosial berkata, keadaan itu mencerminkan cabaran semakin memuncak yang dihadapi para peserta misi kemanusiaan berkenaan.
“Vesel flotila telah memasuki zon berisiko tinggi, iaitu kawasan di mana flotila sebelum ini sama ada dipintas atau diserang.
“Terdapat juga beberapa laporan awal yang menunjukkan kemungkinan pelbagai senario akan berlaku dalam beberapa jam akan datang,” katanya.
Sementara itu, GSF dalam satu hantaran di Instagram berkata vesel mereka kini berada kurang daripada 145 batu nautika dari Gaza dan telah memasuki zon berisiko tinggi.
“Ketika kami belayar semakin hampir ke Gaza, kami tetap berwaspada kerana berada di kawasan di mana flotila sebelum ini telah dipintas dan/atau diserang.
“Teruskan fokus kepada misi ini. Teruskan fokus kepada Gaza. Kami belayar tanpa gentar terhadap ugutan Israel dan taktik intimidasi mereka,” katanya.
Pelayaran Global Sumud Flotilla merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan, sambil mendesak agar peperangan dan kebuluran dihentikan, di samping menuntut pembukaan koridor kemanusiaan ke Gaza.
Seramai 34 rakyat Malaysia adalah antara aktivis dari 45 negara yang belayar ke Gaza bagi memecahkan sekatan ke atas wilayah itu, tetap teguh walaupun berdepan pelbagai halangan dan ancaman, termasuk serangan dron.





