
KUALA LUMPUR: Malaysia menerusi Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) memeterai kerjasama strategik dengan National Institute for Workforce Development (INDMO) Timor-Leste bagi membangunkan Indeks Latihan Nasional (NTI) pertama negara itu.
Kerjasama bersejarah ini dimeterai sempena Minggu Kemahiran Antarabangsa Timor-Leste ke-2 yang berlangsung di Dili, menandakan komitmen bersama kedua-dua negara dalam memperkasa tenaga kerja masa hadapan inklusif, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran global.
NTI yang diasaskan oleh HRD Corp di Malaysia merupakan satu mekanisme strategik berasaskan data yang berperanan penting dalam merancang keperluan latihan, mengenal pasti jurang kemahiran serta membentuk dasar yang lebih holistik untuk pembangunan tenaga kerja.
Adaptasi oleh Timor-Leste bukan sahaja mencerminkan kejayaan model Malaysia, malah memperkukuh kerjasama serantau dalam agenda kemahiran yang kini semakin kritikal di peringkat ASEAN.
Ketua Pegawai Strategi HRD Corp, Dr. Rony Ambrose Gobilee berkata, perkongsian ini merupakan bukti pelaburan dalam pembangunan kemahiran mampu mencetus transformasi menyeluruh kepada sesebuah negara.

“Perjalanan Malaysia membuktikan pembangunan kemahiran inklusif adalah asas kepada pertumbuhan negara.
“Melalui perkongsian kepakaran bersama Timor-Leste, kita bukan sahaja dapat memperkukuh hubungan dua hala, malah menggerakkan visi bersama ASEAN terhadap tenaga kerja masa hadapan,” katanya.
Beliau turut menekankan pengalaman Malaysia dalam membangunkan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mampan memberi nilai tambah kepada kerjasama ini, terutamanya dalam aspek inovasi, penggunaan data serta pendekatan pembelajaran sepanjang hayat.
Memorandum Persefahaman antara HRD Corp dan INDMO ini membuka laluan kepada pelbagai inisiatif bersama termasuk pertukaran kepakaran, pembangunan pasaran latihan serantau, pelaksanaan sistem levi latihan serta penghasilan kandungan pendidikan yang relevan dan responsif terhadap keperluan industri.
Kerjasama ini turut menyokong pelaksanaan Tahun Kemahiran ASEAN 2025 dan meletakkan Timor-Leste di landasan kukuh menjelang penganjuran Perhimpunan Agung Dunia Kemahiran Asia ke-10 pada tahun 2026.
“Timor-Leste mengorak langkah berani dalam transformasi tenaga kerja.
“Malaysia, melalui HRD Corp, berbangga untuk menyokong perjalanan ini, membantu membangunkan tenaga kerja yang berdaya saing, inklusif dan berhubung di peringkat global,” kata Dr. Rony.
Langkah ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat rujukan pembangunan kemahiran di rantau ini, malah menetapkan penanda aras baharu bagi kerjasama ASEAN dalam memperkasa modal insan secara kolektif dan mampan.





