
KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meraih pengiktirafan antarabangsa apabila 26 pensyarah tersenarai antara Saintis Terbaik Dunia 2025.
Naib Canselor UMT, Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata, pengiktirafan itu berdasarkan penilaian Universiti Stanford dan penerbit akademik terkemuka Elsevier dari Amerika Syarikat.
Beliau berkata, senarai itu diterbitkan Elsevier menerusi laporan bertajuk ‘Updated Science-Wide Author Databases of Standardized Citation Indicators’ versi kelapan yang menilai impak penyelidik berdasarkan petunjuk standard pemilihan.
Katanya, seramai tujuh pensyarah UMT disenarai dalam Kategori Sepanjang Kerjaya, manakala 19 lagi dalam Kategori Setahun 2024.
“Pencapaian ini membuktikan keupayaan penyelidik UMT bersaing di peringkat global, selain penghormatan besar untuk universiti.
“Ia juga bukti sumbangan signifikan tenaga pakar UMT dalam penghasilan ilmu baharu, penyelidikan berimpak tinggi serta inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd Zamri, kejayaan itu seiring dengan usaha UMT memperkukuh kedudukan sebagai universiti berteraskan bidang kelautan dan sumber akuatik yang berdaya saing di persada dunia.
“UMT amat berbangga dengan pencapaian ini, yang membuktikan saintis kami mampu berdiri sebaris dengan penyelidik terbaik dunia,” katanya.





