
SEPANG: Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka memasuki Zon Merah dalam tempoh 28 jam, iaitu sekitar pukul 7 malam waktu Malaysia esok, sekali gus menghampiri perairan Gaza dalam usaha menyampaikan bantuan kemanusiaan.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim berkata, setakat pukul 3 petang tadi, semua kapal dalam misi GSF melepasi Zon Kuning 2 dan kini berada kira-kira 227 batu nautika dari pesisir Gaza.
Beliau memaklumkan tiada insiden serangan atau aktiviti dron mencurigakan dilaporkan sehingga kini, dan semua delegasi Malaysia berada dalam keadaan baik dan sihat.
“Bagaimanapun, dua kapal dalam flotila iaitu Nusantara yang berlayar dari Tunisia dan Taigete dari Itali tidak dapat meneruskan pelayaran ke Gaza akibat kerosakan serius.
“Dalam masa sama, kapal Sirius dan Free Willy yang turut mengalami kerosakan sebelum ini berjaya dibaiki dan kembali meneruskan pelayaran.
“Sebuah lagi kapal, Fair Lady, mengalami kerosakan dan kini sedang ditunda oleh kapal Estrella Manuel menuju ke destinasi yang sama,” katanya ketika sidang akhbar di SNCC, Sepang, hari ini.
SNCC turut mengesahkan penyertaan dua kapal tambahan dari Turkiye, Sunflower dan Australe, bagi memperkuatkan lagi misi kemanusiaan ini.
Dr. Sani turut menyeru rakyat Malaysia agar terus bersatu hati, memperbanyakkan doa dan solat hajat serta tidak terpengaruh dengan sebarang spekulasi atau propaganda yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.
Misi GSF membawa mesej mendesak penghentian perang di Gaza, menghentikan penderitaan akibat kebuluran serta membuka segera koridor kemanusiaan bagi membolehkan bantuan disalurkan tanpa halangan.
Dr. Sani juga menasihatkan orang ramai menjadikan SNCC sebagai sumber maklumat rasmi dan sahih berkaitan perkembangan misi ini.




