
PUTRAJAYA : Bagi memastikan tahap keselamatan yang tinggi dan kelancaran urusan di pintu masuk negara sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, seramai 10,492 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 3,000 pegawai daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah ditugaskan.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, persiapan bagi sidang kemuncak yang dijangka menghimpunkan pemimpin-pemimpin utama dunia, termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, sedang berjalan lancar setakat ini.
“Persiapan sudah dibuat, saya sudah diberikan taklimat oleh JIM untuk pastikan kelancaran, persiapan kita cukup rapi… ada enam modul latihan dan kita hantar anggota kita kursus di Institut Tadbiran Awam Negara,” katanya ketika berucap di perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri, di sini, hari ini.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang berlangsung di Kuala Lumpur, bakal menghimpunkan pemimpin dunia termasuk dari Amerika Syarikat, China, India, Australia, Kanada, Brazil, Afrika Selatan, Jepun, Korea serta negara anggota ASEAN.
Tambah beliau, beberapa laluan di pintu masuk utama disediakan bagi memastikan kelancaran pergerakan delegasi dan pemimpin yang akan menyertai acara terbesar negara itu.
Semua dah selesai, kita mengenal pasti pintu masuk laluan premier dan fast track… langkah selanjutnya adalah pastikan bahawa semua yang kita rancang atas kertas itu berjalan dengan cantik,” katanya.




