
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mendedahkan beliau ‘lebih suka’ untuk mengambil alih sumber minyak Iran sekali gus membayangkan kemungkinan Washington menguasai Pulau Kharg, hab eksport minyak utama negara itu.
Menurut laporan media antarabangsa, Trump dalam satu temu bual berkata, pendekatan tersebut mirip strategi AS di Venezuela yang bertujuan mengawal sektor tenaga secara lebih meluas.
Beliau turut mengisyaratkan operasi bagi menguasai Pulau Kharg bukan sesuatu yang mustahil malah menyatakan pertahanan di pulau berkenaan tidak begitu kukuh dan boleh diambil alih dengan mudah.
Pulau Kharg merupakan nadi eksport minyak Iran, dengan sebahagian besar hasil minyak negara itu disalurkan melalui kemudahan di pulau berkenaan.
Kenyataan Trump itu hadir ketika ketegangan di Asia Barat terus memuncak, susulan konflik melibatkan AS, Israel dan Iran yang memberi tekanan besar kepada pasaran tenaga global.
Dalam perkembangan berkaitan, Pentagon dilaporkan memperluaskan kehadiran ketenteraan di rantau tersebut sebagai persediaan menghadapi kemungkinan operasi darat sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap eskalasi konflik.
Walaupun retorik tegang berterusan, Trump turut memberi bayangan rundingan tidak langsung dengan Iran masih berjalan dan berpotensi mencapai persetujuan dalam masa terdekat.
Situasi tersebut terus mendapat perhatian dunia kerana sebarang tindakan terhadap Pulau Kharg dijangka memberi kesan besar kepada bekalan minyak global serta kestabilan geopolitik serantau.







