SHAH ALAM: Tujuh individu terselamat selepas sebuah treler merempuh pondok tol di Plaza Tol Kota Kemuning, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, treler terbabit turut melanggar dua kenderaan masing-masing jenis Perodua Bezza dan Proton Wira.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.17 malam.
Ujarnya, sepasukan anggota termasuk pegawwai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam telah bergegas ke lokasi kejadian.
“Komander operasi melaporkan kemalangan membabitkan tiga kenderaan, termasuk treler yang merempuh pondok tol dan dua kereta lain.
“Terdapat tujuh mangsa terlibat, termasuk penjaga tol,” kata Ahmad Mukhlis.
Kesemua mangsa selamat dan tidak mengalami kecederaan serius.
Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa, termasuk kemungkinan faktor kecuaian pemandu atau masalah mekanikal pada treler.
Sehubungan itu, JBPM menasihatkan orang ramai mematuhi had laju dan berhati-hati ketika melalui plaza tol bagi mengelak insiden sama berulang.
