KUALA LUMPUR : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, hari ini mencapai kata sepakat untuk menamatkan pertikaian di antara mereka demi kepentingan rakyat sekali gus memulihkan keharmonian dalam kalangan pemimpin negara.
Penyelesaian ini dicapai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes saman fitnah berhubung isu ‘kutty’ serta saman balas oleh Ahmad Zahid terhadap Dr. Mahathir.
Mahkamah sepatutnya mendengar permohonan Ahmad Zahid untuk memulakan prosiding komital terhadap Dr. Mahathir hari ini. Namun, kedua-dua pihak bersetuju menarik balik saman dan permohonan masing-masing sebagai tanda penyelesaian muktamad.
Ahmad Zahid memfailkan saman terhadap Dr. Mahathir pada April 2022, mendakwa bekas Perdana Menteri itu menyalahgunakan kedudukannya untuk campur tangan dalam prosiding jenayah yang dihadapinya. Dr. Mahathir pula menyaman Ahmad Zahid pada Julai 2022 atas dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah berkaitan asal-usul keturunannya.
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pihak mengakui wujud kenyataan terdahulu yang menimbulkan kekeliruan mengenai identiti dan integriti peribadi, namun perkara itu telah diperjelaskan dengan sewajarnya.
Ahmad Zahid tidak mempertikaikan nama penuh Dr. Mahathir seperti didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah “Mahathir bin Mohamad”.
Sebarang kenyataan sebelum ini berkaitan nama “Mahathir a/l Iskandar Kutty” dibuat berdasarkan maklumat Ketua Pengarah JPN yang dipercayai ketika itu, namun kini ditarik balik.
Kenyataan Dr. Mahathir pada 23 Februari 2022 mengenai dakwaan campur tangan Ahmad Zahid dalam prosiding jenayah dibuat berdasarkan maklumat pihak ketiga yang dipercayainya ketika itu.
Kedua-dua pihak juga bersetuju menarik balik sebarang rujukan kepada cubaan menghentikan prosiding jenayah di luar proses kehakiman.
Kenyataan itu turut memaklumkan ketika dakwaan tersebut berlaku, Dr. Mahathir bukan lagi Perdana Menteri dan tidak berada dalam kerajaan.
Dr. Mahathir dan Ahmad Zahid percaya semua isu utama dalam pertikaian ini telah diperjelaskan dan tidak lagi relevan.
“”Penyelesaian ini bertujuan bukan sahaja untuk menamatkan prosiding sivil yang sedang berjalan tetapi juga untuk mengukuhkan semangat perpaduan, mempertingkatkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara serta menghormati prinsip-prinsip keluhuran perlembagaan dan institusi kehakiman,” tambah kenyataan tersebut.,” menurut kenyataan bersama itu.
Dalam prosiding hari ini, Dr. Mahathir diwakili peguam Mior Nor Haidir Suhaimi, manakala Ahmad Zahid diwakili Shahrul Fazli. Kedua-dua tokoh politik itu tidak hadir di mahkamah.
