
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak menolak kemungkinan menjadi sasaran agensi perisikan Israel, Mossad, susulan pendirian tegas negara dalam mempertahankan Gaza serta hubungan erat dengan Iran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan sudah mengambil langkah-langkah keselamatan tambahan termasuk menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memantau serta mengenal pasti sebarang cubaan penyeludupan senjata, dadah dan kemasukan ejen asing yang boleh mengancam keselamatan negara.
“Badan perisik antarabangsa termasuk Mossad memang dikenal pasti.
“Taklimat terkini daripada badan perisikan negara menunjukkan mereka amat serius dalam perkara ini, khususnya selepas didapati terdapat kehadiran ejen Mossad serta penggunaan pasangan suami isteri tempatan yang dipercayai bersubahat dengan agensi itu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Kenyataan itu dibuat sebagai menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN–Machang) yang bertanyakan langkah kerajaan dalam menangani potensi kemasukan ejen Mossad ke Malaysia.
Perdana Menteri turut merujuk kepada kes pembunuhan Dr. Fadi M R Al Batsh Fatma, pensyarah warga Palestin pada tahun 2018, yang dipercayai didalangi ejen asing.
Beberapa insiden lain yang dipercayai melibatkan jaringan perisikan luar juga telah dikenal pasti dan diambil tindakan.
“Ejen perisik ini sangat canggih dan pantas. Ramai yang sempat melarikan diri sebelum dapat dikenal pasti,” katanya.
Anwar menjelaskan, antara kes baharu ialah melibatkan pasangan suami isteri Melayu dari Selangor yang dipercayai bekerjasama dengan Mossad dalam penyeludupan senjata dari Thailand.
Mereka telah ditahan dan kini berada dalam penjara.
Menjawab pertanyaan berasingan berhubung kegagalan sistem Autogate di pintu masuk negara baru-baru ini, Anwar menjelaskan isu berkenaan sudah pun ditangani.
“Masalah tersebut berpunca daripada sistem Interpol, namun Alhamdulillah ia telah diselesaikan,” katanya.





