
PUTRAJAYA: Pelaksanaan penuh Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 sebanyak RM1,700 sebulan akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025, melibatkan semua majikan di seluruh negara, tanpa mengira bilangan pekerja yang digajikan.
Menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), semua majikan diwajibkan menyemak semula struktur gaji syarikat bagi memastikan tiada pekerja menerima gaji pokok di bawah kadar minimum yang ditetapkan.
Kadar gaji minimum RM1,700 ini mula diperkenalkan secara berperingkat pada 1 Februari 2025 kepada majikan yang menggaji lima orang pekerja dan ke atas dan majikan yang menjalankan aktiviti profesional seperti diklasifikasikan di bawah Malaysia Standard Classification of Occupations (MASCO) 2020
Namun, bermula 1 Ogos ini, pelaksanaan ini akan merangkumi semua majikan tanpa pengecualian, termasuk mereka yang sebelum ini diberikan penangguhan.
“Ini termasuk pekerja bukan warganegara dan pekerja kontrak perantisan, namun tidak terpakai kepada pekerja domestik,” menurut kenyataan KESUMA.
Majikan yang gagal mematuhi arahan ini boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).
Hukuman yang boleh dikenakan termasuk denda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja, denda tambahan RM1,000 sehari bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan dan kesalahan berulang boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun
KESUMA turut menggesa majikan membuat penyesuaian operasi secara progresif, termasuk pelaburan dalam latihan kemahiran dan peningkatan produktiviti pekerja.
Majikan turut digalakkan menyertai Dasar Gaji Progresif (DGP) yang bersifat sukarela dan bertindak sebagai pelengkap kepada gaji minimum.
Melalui DGP, pendapatan pekerja boleh ditingkatkan berdasarkan tahap kemahiran, produktiviti, sumbangan kerja.
Kerajaan turut menyediakan insentif tunai bersasar kepada syarikat yang menyertai dasar ini.
“Langkah ini bukan sahaja membantu mengekalkan pekerja mahir, malah memperkukuh daya saing syarikat dalam pasaran buruh yang semakin mencabar,” jelas kementerian.
Sebarang pertanyaan atau aduan berkaitan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum boleh dikemukakan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di seluruh negara atau melalui laman rasmi Kementerian Sumber Manusia.





