
PETALING JAYA: Ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin mendakwa dirinya dipaksa oleh pihak polis membuat pengakuan membunuh anaknya sendiri semasa berada dalam tahanan reman selama 13 hari pada Jun tahun lalu.
Ismanira Abdul Manaf, 30, membuat dakwaan tersebut ketika memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pertama dalam perbicaraan kes pengabaian terhadap anak autistik itu di Mahkamah Sesyen hari ini.
Menurutnya, siasatan dijalankan di sebuah banglo di Petaling Jaya yang dikenali sebagai “safe house”, enam bulan selepas kematian Zayn Rayyan.
“Sepanjang siasatan, saya memberikan kerjasama sepenuhnya, tetapi pihak polis tetap tidak berpuas hati.
“Mereka menuduh saya melakukan perkara yang tidak saya lakukan. Mereka mengarang cerita kononnya saya menjumpai anak saya dan membunuhnya,” katanya ketika disoal peguamnya, Haresh Mahadevan.
Ismanira berkata, dia menafikan tuduhan itu, namun tekanan daripada pihak polis tetap berterusan.
Ismanira turut memberitahu mahkamah polis terbahagi kepada dua kumpulan iaitu satu kumpulan bersimpati dan percaya dia tidak bersalah, manakala satu lagi kumpulan terus menekan dan menuduhnya.
“Mereka yang bersimpati minta saya bertahan sehingga reman tamat dan lawan jika tuduhan itu tidak benar. Tapi ada juga yang tetap menekan saya dengan tuduhan yang saya tak buat,” ujarnya.
Berhubung pertuduhan pengabaian, Ismanira sekali lagi menegaskan dia tidak pernah mengabaikan Zayn sepanjang hayat kanak-kanak itu.
“Saya tidak berada di Blok R sepanjang masa seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan. Saya tidak pernah ke kawasan sungai tersebut.
“Saya benar-benar kehilangan anak saya pada hari itu,” katanya dalam nada sebak.
Ketika ditanya sama ada dia pernah meninggalkan anaknya bersendirian, Ismanira menjelaskan dia hanya berpisah dengan Zayn ketika bekerja atau semasa Zayn berada di sekolah.
“Saya yang mengandungkan, melahirkan, dan membesarkan Zayn. Saya tidak pernah membiarkannya bersendirian,” katanya.
Semalam, Hakim Dr. Syahliza Warnoh memerintahkan Ismanira membela diri atas pertuduhan mengabaikan anaknya hingga menyebabkan kecederaan fizikal, dua tahun lalu. Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Sementara itu, suaminya, Zaim Ikhwan Zahari telah dilepas dan dibebaskan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadapnya.
Pihak pembelaan kini mengemukakan lima orang saksi termasuk Ismanira dalam prosiding bela diri yang dijadual berlangsung selama empat hari bermula semalam.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira dan Zaim Ikhwan sebagai penjaga sah Zayn Rayyan, didakwa mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal antara jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sekitar Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berhampiran, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, hukuman maksimum adalah penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023, dan mayatnya ditemui sehari kemudian di anak sungai berhampiran kediamannya.





