
KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Muzium Malaysia dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Kedah akan menganjurkan Festival Hari Muzium Antarabangsa 2025 Peringkat Kebangsaan bermula 23 hingga 29 Julai ini di Muzium Padi, Kedah.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, festival bertemakan Masa Depan Muzium dalam Komuniti yang Berubah Pantas bukan sekadar sebuah acara warisan tetapi wadah penyatuan rakyat Malaysia dalam menghargai khazanah budaya dan sejarah tanah air.
“Dalam landskap masyarakat yang semakin dinamik dan berbilang bangsa, muzium berperanan sebagai jambatan antara generasi, merentas latar belakang etnik dan agama, menyatukan kita dalam satu naratif kebangsaan yang inklusif dan bersepadu.
“Festival ini membawa pengisian yang padat dan menarik seperti pameran interaktif, bengkel pendidikan, persembahan kebudayaan serta aktiviti komuniti yang meraikan kepelbagaian dan kekuatan warisan negara,” katanya.
Beliau menambah, festival tersebut membawa pengisian padat dan menarik merangkumi pameran interaktif, bengkel pendidikan, persembahan kebudayaan serta aktiviti komuniti yang meraikan kepelbagaian dan kekuatan warisan negara.
Ujarnya lagi, antara aktiviti yang akan dianjurkan adalah pameran muzium, Citrawarna muzium, bengkel asasi seni telepuk, pertandingan qasidah, bengkel melangir keris, pakat tughun bendang, bengkel wau sobek, pertandingan seni suara burung, dan pertandingan ayam serama.
“Selain itu, festival turut menganjurkan Museum fun run, sesi bersama Datuk Lat, teroka khazanah, permainan tradisional dan bicara seni untuk dimanfaatkan orang ramai.
“KPN melihat inisiatif seperti ini sebagai platform penting dalam memperkukuh jati diri nasional serta menyemai nilai kebersamaan dan persefahaman antara rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.
Seluruh rakyat Malaysia diharap tidak melepaskan peluang bersama-sama memeriahkan festival tersebut di Muzium Padi, Kedah.





