JOHOR BAHRU: Ribuan pekerja Malaysia yang berulang-alik ke Singapura terjejas awal pagi ini apabila 100 pemandu bas yang menyediakan perkhidmatan ulang-alik ke republik itu melakukan mogok bermula pukul 5 pagi.
Tindakan mogok itu menyebabkan ramai pekerja terkandas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) serta beberapa hentian bas utama, ketika mereka dalam perjalanan masuk ke Singapura untuk bekerja.
Seorang pekerja restoran di Singapura, Munir Selamat, 34, berkata dia terkejut melihat barisan panjang di terminal BSI seawal jam 6.30 pagi.
Setelah menunggu hampir 30 minit tanpa sebarang bas tiba, dia bersama penumpang lain akhirnya memilih berjalan kaki merentas Tambak Johor sejauh kira-kira 1.05 kilometer demi mengelakkan kelewatan ke tempat kerja.
“Kami benar-benar terkejut apabila diberitahu pemandu bas mogok. Tanpa pilihan lain, kami terpaksa berjalan kaki masuk ke Singapura kerana tidak mahu lambat dan menjejaskan kerja,” katanya.
Mogok itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati pemandu terhadap penyelarasan gaji baharu oleh pihak syarikat, yang didakwa mengurangkan pendapatan mereka secara drastik.
Seorang pemandu, yang hanya mahu dikenali sebagai Atoi, 35, berkata mereka mengambil tindakan itu setelah usaha mendapatkan penjelasan daripada syarikat tidak membuahkan hasil.
“Penyelarasan gaji yang mula dikuatkuasakan dua bulan lalu menyebabkan pendapatan kami berkurangan dengan ketara, walaupun kos sara hidup terus meningkat,” ujarnya.
Menurutnya, gaji yang sebelum ini mencecah RM2,800 hingga RM2,900 sebulan telah menurun kepada kurang RM2,000.
Katanya, syarat baharu yang mewajibkan pemandu membuat lima perjalanan sehari berbanding empat sebelum ini turut menjejaskan kadar bayaran lebih masa mereka.
“Lebih memburukkan keadaan, potongan gaji yang dilakukan juga tidak diberi penjelasan yang jelas oleh pihak syarikat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilaporkan mengadakan perbincangan bersama pihak syarikat dan pemandu bas bagi mencari jalan penyelesaian.
