MUAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor membuat laporan polis terhadap seorang pempengaruh dan adik lelakinya selepas didapati memberi maklumat palsu mengenai kejadian kehilangan di Sungai Tui, Bukit Kepong, pada Isnin lalu.
Ketua Zon 4 JBPM Johor, Penguasa Kanan Bomba II Norshuhada Amsari, berkata laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar semalam dengan arahan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.
Katanya, tindakan tersebut diambil kerana laporan palsu yang dibuat menyebabkan pembaziran masa dan sumber, selain membahayakan keselamatan anggota penyelamat.
“Ia juga mengganggu operasi kecemasan lain serta menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan penyelamat.
“Jika tidak dibendung, tindakan seperti ini boleh memberi kesan buruk kepada kredibiliti agensi,” katanya ketika dihubungi.
Laporan polis dibuat sekitar pukul 11.30 pagi dan Norshuhada memaklumkan beliau sudah memberi keterangan kepada pegawai penyiasat selepas laporan itu dikemukakan.
“Saya harap orang ramai ambil iktibar dan tidak melakukan perkara sebegini. Ia langsung tidak wajar, dan kami khuatir ia boleh menjejaskan keupayaan kami menangani kes kecemasan sebenar,” katanya.
Sepanjang operasi pencarian selama empat hari, seramai 30 anggota dari Balai Bomba Muar, Labis dan Pagoh terlibat, termasuk unit penyelamat di air dari Muar yang digerakkan ke lokasi sebaik menerima laporan kehilangan.
“Kami hanya dimaklumkan situasi sebenar pada pagi Sabtu oleh Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, yang mengesahkan lelaki itu sebenarnya selamat,” jelas Norshuhada.
Beliau turut menekankan meskipun bersyukur individu terbabit tidak mengalami kecederaan, tindakan yang dilakukan adalah tidak bertanggungjawab dan menjejaskan banyak pihak, termasuk keluarga serta pihak berkuasa.
“Pasukan penyelamat berkampung selama beberapa hari menjalankan misi mencari dan menyelamat, namun rupa-rupanya ia adalah sandiwara. Kami sangat kecewa,” katanya.
Sebelum ini, Raiz Mukhliz mendedahkan lelaki berusia 38 tahun itu mereka cerita kehilangan diri dengan bantuan adiknya berumur 30 tahun, yang turut bersubahat menolak kereta ke dalam sungai dan berpura-pura menjalankan operasi mencari untuk mengaburi pihak polis.
Kegiatan mereka terbongkar selepas laporan awal menimbulkan keraguan dan adik lelaki itu akhirnya mengaku bahawa abangnya telah melarikan diri ke negara jiran sebelum pulang ke Malaysia pada Jumaat lalu.
