KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia masih belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Amerika Syarikat (AS) berhubung pencalonan aktivis konservatif kontroversi, Nick Adams, sebagai Duta AS ke Malaysia.
Nick Adams, yang dikenali dengan pandangannya yang lantang menentang perjuangan Palestin, dicalonkan oleh Presiden AS, Donald Trump, dan kini melalui proses pendengaran di Kongres AS.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, menjelaskan Wisma Putra hanya akan memberikan pandangan serta pertimbangan mengenai pencalonan tersebut selepas permohonan rasmi diterima daripada kerajaan AS.
“Kita belum terima lagi permohonan perjanjian daripada AS. Kita tengok dahulu bagaimana perkembangan ini.
“Pastinya Wisma Putra akan beri pandangan dan pertimbangan untuk dibawa ke Kabinet, dan keputusan akan dibuat di peringkat itu,” katanya di Parlimen.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang), yang membangkitkan kebimbangan terhadap pelantikan Adams yang terkenal dengan kenyataan-kenyataan kontroversi, termasuk menyentuh isu Islam dan Palestin.
Pencalonan Adams sebagai Duta Besar AS ke Malaysia diumumkan oleh Trump dan telah dihantar secara rasmi ke Senat AS pada 9 Julai untuk sesi pendengaran Kongres.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menyatakan bahawa isu tersebut perlu diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat, sambil menegaskan kepentingan menjaga hubungan diplomatik baik antara Malaysia dan AS.
Dalam kenyataannya, Mohamad Hasan turut mengingatkan agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi selagi tiada permohonan rasmi diterima.
“Kita belum terima apa-apa, baru dengar cakap orang. Kalau kita tolak sekarang, orang kata mereka tak minta pun… nanti malu kita. Jangan kita bersikap ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’,” tambahnya secara sinis.
