
JOHOR BAHRU: UMNO tampil menawarkan diri sebagai payung penyatuan politik Melayu di Johor susulan pembubaran 11 Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri terbabit akibat krisis dalaman.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar, keadaan tersebut menunjukkan perpecahan hanya melemahkan kekuatan politik Melayu dan berpotensi menjejaskan kestabilan serta arah perjuangan mereka.
“UMNO sejak awal penubuhannya merupakan wadah utama perjuangan orang Melayu yang telah membentuk kepimpinan dan dasar negara, selain kekal relevan sebagai platform penyatuan hingga hari ini.
“UMNO bukan sekadar parti politik, tetapi rumah besar kepada bangsa Melayu. Dalam landskap politik yang semakin mencabar, kesatuan adalah keperluan, bukan pilihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, sebanyak 11 bahagian Bersatu Johor mengumumkan pembubaran bahagian masing-masing susulan krisis dalaman parti yang melanda ketika ini.
Bahagian terbabit ialah Mersing, Pontian, Johor Bahru, Labis, Simpang Renggam, Sembrong, Pengerang, Tanjung Piai, Ledang, Pulai dan Sri Gading.
Tambah Yahya, UMNO membuka pintu kepada ahli-ahli Bersatu yang terkesan agar kembali ke wadah asal perjuangan demi memperkukuh suara politik Melayu secara kolektif dan berkesan.
Katanya, seruan itu sejajar dengan gagasan Rumah Bangsa yang digagaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, bagi menghimpunkan semula kekuatan Melayu di bawah satu kepimpinan yang stabil dan diyakini rakyat.
Justeru beliau, menggesa semua pihak agar mengetepikan perbezaan sempit, menolak politik perpecahan dan bersama-sama menyokong usaha memperkukuh kestabilan Johor demi kesejahteraan rakyat serta masa depan negeri.







