
PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dicadang merangka pelan pembangunan belia desa, yang bukan hanya belia celik digital, tetapi juga berpendidikan, mempunyai skil kemahiran dan mampu beradaptasi dalam apa jua keadaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau berharap usaha tersebut satu hari nanti mampu melahirkan Hab Gig Desa yang membuka peluang pekerjaan baharu, termasuk Duta Belia Desa yang menjadi suara generasi masa hadapan.
Katanya, ia juga termasuk membina Program Pertukaran Belia Desa ASEAN yang membawa belia Malaysia untuk menimba ilmu dan pengalaman di pentas antarabangsa.
“Saya serahkan kepada pihak kementerian untuk mencorak dan mewarnainya dengan melibatkan semua agensi di bawah KKDW melalui satu platform atau jawatankuasa kerana yang penting matlamat kita jelas.
“Saya mahu Belia Desa Malaysia mampu meneroka dunia, melangkaui sempadan dan bersaing gagah di pentas global,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KKDW di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah melancarkan ‘Program Tahfiz TVET @ Kolej KEDA 4.0’ dan penyerahan ‘Watikah Pertubuhan Belia Desa KEDA’.
Dalam perkembangan lain, beliau mahu kementerian itu mewujudkan satu jadual prestasi bulanan yang lengkap, menyeluruh dan telus.
Katanya, mereka perlu bergerak berdasarkan data, mendahului cabaran, memimpin dengan maklumat dan menjawab dengan keyakinan.
“Percayalah, saya tidak mampu melakukannya seorang diri. Hanya dengan kekuatan bersama, kita mampu memperkukuh keyakinan rakyat dan memastikan setiap usaha yang dicurahkan benar-benar membawa pulangan besar kepada bangsa dan negara,” katanya.






