
KAJANG: Kes serangan asid ke atas pemain sayap Selangor FC dan Harimau Malaya, Faisal Halim diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Peguam mewakili Faisal, Nik Zarith Nik Moustpha berkata, perkara berkenaan dimaklumkan oleh Jabatan Peguam Negara menerusi satu surat bertarikh 18 Februari 2025.
“Kami membuat kenyataan di sini sebagai peguam yang mewakili anak guam kami, Faisal Halim berhubung kes serangan simbahan asid terhadap beliau pada 5 Mei 2024.
“Sepanjang tempoh siasatan kes ini, pihak kami mengambil beberapa langkah proaktif bagi memastikan kes ini diberikan perhatian yang sewajarnya,” kata dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut Nik Zarith, surat Jabatan Peguam Negara itu menyatakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak dapat mengesan sebarang petunjuk untuk kaitkan mana-mana individu dalam kes berkenaan.
“Surat itu menyatakan bahawa polis tidak menemui sebarang petunjuk atau petunjuk yang boleh mengaitkan mana-mana individu sebagai suspek kepada kes ini. Segala usaha yang dilakukan dalam hal ini tidak berjaya.
Pada 5 Mei tahun lalu, penjaring gol terbaik Piala Asia 2023 itu dilaporkan mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah.
Susulan itu, Faisal atau dikenali dengan panggilan Mickey terpaksa menjalani pembedahan beberapa kali ekoran insiden itu.






