NAIROBI: Malaysia mahu memperluaskan pasaran perdagangan minyak sawit di Afrika Timur menerusi kerjasama strategik dengan Kenya.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Kenya bukan sahaja rakan dagang utama Malaysia tetapi berperanan sebagai pintu masuk strategik ke pasaran Komuniti Afrika Timur (EAC) yang merangkumi lebih 330 juta penduduk.
“Ini membuka peluang besar untuk meningkatkan eksport minyak sawit Malaysia ke seluruh Afrika Timur termasuk ke Uganda, Tanzania dan Rwanda,” katanya selepas mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Kenya, Lee Kinyanjui di sini semalam.
Johari berkata, eksport minyak sawit mentah dan produk berasaskan sawit Malaysia ke Kenya mencecah RM5.2 bilion tahun lalu, mewakili hampir 95 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport ke negara itu.
Dalam pertemuan itu, kerajaan Kenya turut menyatakan minat untuk bekerjasama menubuhkan pusat pemprosesan minyak sawit di Taman Perindustrian Mombasa.
Johari berkata, aktiviti ekonomi ini tidak hanya terhad untuk Malaysia mengeksport minyak sawit mentah atau separa mentah, tetapi juga memberi peluang ekonomi kepada rakyat Kenya.
“Inisiatif ini bakal menjadi hab pemprosesan dan pengedaran serantau sekali gus menjana peluang pekerjaan, meningkatkan nilai tambah perdagangan serta menyokong pembangunan industri inklusif di Kenya,” katanya.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Duta Besar Malaysia ke Kenya, Ruzaimi Mohammad; Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Razali Mohammad serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Belvinder Sron.
