
KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi mengadakan sesi dialog dengan pemain industri di Kenya bagi mendapatkan input berhubung masalah perdagangan yang mereka hadapi khususnya berkait isu import kelapa sawit dari Malaysia.
Sesi meja bulat itu mewakili satu lagi langkah penting di bawah misi ekonomi Malaysia ke Kenya dalam mempromosikan bukan saja perdagangan, tetapi pembangunan industri jangka panjang, inovasi dan kerjasama teknikal rentas sempadan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang mengetuai sesi dialog itu berkata, antara isu yang dibangkitkan oleh pemain industri terbabit adalah peningkatan kos logistik.
Beliau mendapati pengusaha yang mengimport minyak sawit untuk dijual di Kenya dan negara sekitar terpaksa menanggung peningkatan kos logistik mencecah 40 peratus.
Johari juga mengakui cabaran berkenaan dan menekankan keperluan bagi kedua-dua negara untuk bekerjasama meneroka penyelesaian infrastruktur yang boleh mengurangkan bebanan kos, sekali gus berupaya meningkatkan kecekapan pengedaran serantau.
“Saya mengadakan sesi dialog dengan semua pemain industri di Kenya, banyak perkara-perkara yang dibangkit mengenai (hal ehwal) dagangan yang mereka adakan dengan kita, terutama mereka ini adalah pengusaha-pengusaha yang mengimport kelapa sawit kita.
“Mereka memproses dan menjual kepada penduduk di Kenya dan juga tujuh negara berhampiran Kenya.
“Jadi isu utama mereka adalah dari segi logistik. Logistik itu menyebabkan kos minyak yang sampai kepada pengguna meningkat sampai 40 peratus.
“Kerana hendak sampai ke sesuatu negara ‘land locked’ (negara terkurung daratan atau tiada pantai) itu, ia memerlukan masa hampir dua hingga empat hari. Tetapi mempunyai potensi yang sangat besar kalau negara-negara ini dapat menyelesaikan infrastruktur mereka,” katanya kepada pemberita hari ini.
Johari juga mengambil kesempatan mengajak pemain industri dari negara terbabit untuk ke Malaysia, bagi melihat sendiri kepakaran dan teknologi memproses kelapa sawit.
“Saya juga beritahu mereka, saya jemput mereka hadir ke Malaysia untuk melihat bagaimana beberapa teknologi memproses yang kita ada.
“Ia untuk mereka belajar supaya dapat gunakan benda ini untuk produktiviti dan kecekapan dalam pemproses kelapa sawit di Kenya.
“Jika kita dapat mencari penyelesaian yang tepat, sektor ini mempunyai potensi besar,” katanya.






