
PETALING JAYA: Sebanyak 189,304 permohonan diterima Unit Pengambilan TVET (UP_TVET) untuk pelajar mengikuti kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi pengambilan bulan hadapan di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan ketara berbanding 146,000 permohonan pada pengambilan sebelumnya, sekali gus mencerminkan minat yang semakin tinggi dalam kalangan pelajar terhadap bidang TVET.
Beliau berkata, UP_TVET juga sedang menyelaras penempatan pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang gagal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam.
“Bagi pelajar STPM yang tidak berjaya memasuki universiti, kita ingin menawarkan peluang di institusi di bawah Malaysian Technical University Network (MTUN), khususnya enam universiti termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) yang berada di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk mengikuti kursus-kursus yang sesuai dan diminati,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di sini, hari ini
Ahmad Zahid berkata, peluang tersebut terbuka kepada semua kaum bagi memastikan tiada pelajar tercicir daripada pendidikan tinggi, khususnya dalam bidang teknikal dan profesional yang kini mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran kerja.
“UniKL akan menawarkan kursus-kursus teknikal, manakala UPTM memberi tumpuan kepada kursus profesional,” katanya.
Pada mesyuarat sama, beliau turut melancarkan Program Desa Kirana yang memfokuskan kepada usaha memperkukuh ekosistem dan promosi produk pelancongan desa sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.







