
SEPANG: Seramai 229 jemaah umrah bagi musim 1447 Hijrah kendalian Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) berlepas ke Tanah Suci hari ini menerusi penerbangan sulung Malaysia Airlines (MH156).
Kesemua jemaah yang merupakan kumpulan pertama itu berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 2.50 petang menuju ke Jeddah, Arab Saudi.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, ia menandakan permulaan kerjasama strategik Andalusia dan AMAL by Malaysia Airlines dalam menawarkan perkhidmatan umrah lebih profesional, selesa dan sistematik.

“Penerbangan hari ini adalah sebahagian daripada kontrak eksklusif sebanyak 21,500 tempat duduk setahun bersama AMAL.
“Ia bertujuan menjamin kelangsungan penerbangan dan memastikan jemaah Andalusia sentiasa mempunyai tempat duduk tersedia sepanjang musim,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah dan Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin.
Ida Riswana turut mengingatkan kepada orang ramai mengenai wujudnya penipuan segelintir pihak didakwa menyamar sebagai syarikat ternama, menggunakan alasan ‘perang’ atau ‘isu geopolitik’ untuk menangguhkan atau membatalkan penerbangan.

“Sebenarnya tindakan ini tidak akan terhenti kerana ramai orang mudah tertipu disebabkan harga dan tanpa kaji selidik.
“Mereka (scammer) banyak mengambil kesempatan terhadap orang ramai yanb mencari harga pakej lebih murah,” katanya.
Kata beliau, pihaknya juga sentiasa memantau perkembangan semasa berkaitan laluan udara dan keselamatan penerbangan.
Sehingga kini, semua jadual penerbangan umrah masih diteruskan seperti biasa selagi tidak mendapat arahan pihak berkuasa.







