PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan buah epal dan oren yang diimport akan dikecualikan daripada peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan beliau semalam, sebagai langkah meringankan beban rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
“Masih ada yang mengeluh, katanya orang kampung dan orang miskin pun mahu makan epal. Dulu orang kata ‘an apple a day keeps the doctor away’, tapi sebenarnya pisang lebih baik kerana kandungan potasiumnya tinggi,” katanya secara berseloroh.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Kota Madani di Presint 19, hari ini.
Anwar memaklumkan kerajaan juga bersetuju menaikkan nilai ambang (threshold) SST bagi pengimport buah-buahan tertentu daripada RM500,000 kepada RM1 juta, bagi mengurangkan tekanan terhadap perniagaan kecil.
“Nilai ambang untuk peniaga kecil dianggap terlalu rendah, jadi kita naikkan kepada RM1 juta kerana kita mahu rakyat menyokong langkah ini,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan kerajaan meneliti semula pelaksanaan SST terhadap komoditi import tertentu, termasuk buah epal dan oren.
Memandangkan kedua-dua jenis buah ini diimport sepenuhnya dari luar negara, cadangan untuk mengenakan SST antara lima hingga 10 peratus dinilai semula berhubung faktor impak kepada pengguna.
Pada 9 Jun lalu, kerajaan mengumumkan semakan bersasar kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan, yang dijadualkan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.
Kadar cukai jualan akan dikekalkan untuk barangan keperluan, manakala kadar lima atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan tidak penting, bergantung pada penilaian.
Cukai perkhidmatan pula akan diperluas meliputi enam perkhidmatan baharu, termasuk penyewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan, dan kecantikan.
Perdana Menteri menegaskan perincian lanjut mengenai pelaksanaan SST yang sudah disemak akan diumumkan dalam masa terdekat.
