
KUALA LUMPUR: Tujuh ahli Parlimen PKR menyuarakan kebimbangan terhadap Rang Undang-Undang Pembaharuan Bandar 2025 (RUU URA), terutamanya berkaitan ambang persetujuan yang ditetapkan bagi pelaksanaan projek-projek pembaharuan bandar.
Mereka adalah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.
Kebimbangan utama mereka khususnya membabitkan Seksyen 19(1)(b) sebagaimana tertulis dalam kenyataan Bersama yang dibacakan Rodziah.
Di bawah seksyen itu, ia menyebut bahawa jika suatu projek pembaharuan semula bandar dijalankan oleh Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan atau Jawatankuasa Eksekutif Negara bagi suatu bangunan berusia 30 tahun atau kurang, ambang persetujuan hendaklah 80 peratus.
Ia termasuk membabitkan bangunan berusia lebih daripada 30 tahun, ambang persetujuan hendaklah 75 peratus.
“Kami menggesa kerajaan untuk tidak meneruskan bacaan kedua pada Rabu ini (minggu depan) dengan mengkaji semula RUU berkenaan pada sidang Parlimen akan datang,” katanya.
Katanya ia selepas satu sesi taklimat yang lebih menyeluruh diberikan kepada ahli Parlimen dengan menekankan isu utama ambang persetujuan serta kesannya terhadap penyewa miskin bandar.
“Sekiranya kerajaan meneruskan RUU URA dalam bentuknya sekarang, ia berisiko mengasingkan pengundi bandar khususnya di kawasan pilihan raya yang menempatkan banyak perumahan sosial.
“Ini akan menjadi kesilapan politik yang besar. Kami menyokong secara prinsip RUU URA ini dengan syarat ambang persetujuan ditetapkan dengan lebih adil dan masalah perumahan sosial ditangani seperti yang telah kami cadangkan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Hari ini dijadual berlangsung bacaan pertama RUU URA di Dewan Rakyat.
Rodziah berkata, negara ini mempunyai tanah jauh lebih luas berbanding Hong Kong dan Singapura, sekali gus kerajaan tidak seharusnya tergesa-gesa untuk merendahkan ambang persetujuan ini.
Malah pihaknya percaya bahawa ambang persetujuan yang sesuai hendaklah ditetapkan lebih tinggi iaitu 85 peratus bagi bangunan berusia lebih 30 tahun dan 90 tahun bagi bangunan berusia bawah 30 tahun.
“Ia demi melindungi hak pemilik rumah dan khususnya penyewa dalam perumahan sosial. Kita tidak seharusnya menyokong ambang persetujuan 75 peratus ini,” katanya.
Meskipun tidak membantah pembangunan semula bangunan benar-benar terbengkalai atau tidak selamat denga ambang persetujuan 51 peratus, Rodziah menegaskan pembangunan semula bandar membabitkan perumahan kos rendah perlu ditangani dengan lebih adil.
“Walaupun kami menyokong, secara prinsip, pembangunan semula rumah kos rendah yang sudah usang, kami memandang dengan penuh kebimbangan bahawa dasar perumahan sosial yang diwarisi oleh Kerajaan MMadani ini adalah sangat pincang.
“RUU URA ini tidak banyak memperbaikinya. Pemilik semua rumah kos rendah kebanyakan terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana bukan golongan kaya.
“Sebagai contoh, di Subang, kajian dijalankan pejabat Subang mendapati hampir 73 peratus penghuni unit kos rendah adalah penyewa, bukan pemilik.
“Majoriti besar pemilik adalah daripada golongan kes menengah dan berpendapatan tinggi,” katanya.






